Official Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) Website

1 800 88 7723 Aduan / Contact SPAD
  •  
  •  
  •  
  • A-
  • A
  • A+
  •  
about us

PERDANA MENTERI MERASMIKAN PROJEK SAMBUNGAN JAJARAN LRT BAGI LALUAN AMPANG DAN KELANA JAYA

Printer-friendly versionSend by emailPDF version


Lembaran baharu dalam sejarah pengangkutan awam darat di Malaysia tercipta pada 30 Jun 2016 apabila projek sambungan jajaran LRT bagi laluan Ampang dan Kelana Jaya yang sudah lama dinanti-nantikan oleh orang ramai telah mula beroperasi. Dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, pembukaan sambungan laluan ini dijangka akan meningkatkan bilangan penumpang yang menggunakan LRT kepada sebanyak 300,000 penumpang sehari.

Laluan yang dikendalikan oleh Rapid Rail Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, menambahkan laluan sepanjang 27km bagi perkhidmatan LRT Laluan Ampang yang bermula dari Sri Petaling ke stesen Putra Heights. Manakala bagi laluan Putra Heights ke Kelana Jaya, sambungan ini menambahkan laluan sejauh 29km. Pengguna juga boleh membuat pertukaran kepada perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dari Stesen Putra Heights.

 

Stesen Putra Heights ini menjadi ikon baharu bagi perkhidmatan LRT kerana peranannya yang penting iaitu sebagai stesen integrasi dan pertukaran bagi kedua-dua perkhidmatan LRT Laluan Ampang dan Kelana Jaya. Semua stesen baharu di sepanjang jajaran LRT ini memperkenalkan ciri-ciri yang mesra orang kurang upaya (OKU), parkir yang luas, eskalator, lif dan juga ciri-ciri keselamatan seperti pemantauan melalui sistem litar kamera tertutup (CCTV) selain kehadiran Polis Bantuan yang bertugas di setiap stesen.

Serentak dengan pembukaan 23 stesen LRT baharu tersebut, Rapid Bus Sdn Bhd yang mengendalikan perkhidmatan bas berhenti-henti Rapid KL, turut memulakan perkhidmatan bas pengantara atau 'feeder bus' bagi kemudahan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan LRT berkenaan. Kewujudan perkhidmatan LRT sambungan laluan Ampang dan Kelana Jaya ini pastinya menjana banyak manfaat kepada rakyat dari segi akses, mobiliti dan ketercapaian, khususnya jutaan penduduk yang tinggal di sekitar Lembah Klang.